Selamat Datang 5 Ibnu Rusyd sesi 2023/2024! Alhamdulillah, kita semua dapat bersua lagi dalam sesi kali ini. Semua murid nampak ceria, bersemangat dan tidak sabar-sabar untuk belajar dan bertemu kawan-kawan.
Bagi saya, tahun ini masih lagi dipertanggungjawabkan sebagai guru kelas (mungkin sampai pencen😅). Namun, yang membuatkan saya rasa seronok dan teruja, kerana saya memegang kelas dan murid yang sama. Bukan apa, saya rasa lebih mudah sebab saya dah kenal mereka, ibu bapa mereka dan ini akan melancarkan apa-apa kerja saya yang melibatkan mereka.
Pada mulanya sesi ini, anak-anak 5 Ibnu Rusyd hanya 36 orang sahaja. Ini pun setelah ditolak daripada murid yang telah pindah. Namun, hari ini ada masuk lagi 2 orang murid menjadikannya jumlah 38 orang. Saya ok je. Sebab sebelum ni pun mula-mula saya pegang murid kelas Ibnu Rusyd ni pun dengan jumlah 40 orang.
Alhamdulillah, saya suka suasana kelas tahun ini sebab kelas ini lebih besar daripada tahun lepas. Tahun lepas saya rasa padat dan sempit sangat dengan jumlah murid yang 40 orang. Untuk hiasan kelas pula, kelas ini dah asalnya cantik. Jadi untuk permulaan ni saya buat yang wajib la dulu. Harap ada la lagi penambahbaikkan lepas ini😆.
Hari ini saya ada masa B.Arab untuk kelas 5 Ibnu Rusyd. Untuk menyesuaikan hasrat KPM yang mahukan supaya minggu ini tiada PDP yang menggunakan buku teks dan hanya menjalankan aktiviti bebas terlebih dahulu, maka saya memilih untuk membuat Mini Kamus untuk murid-murid saya. Ini selaras dengan objektif persekolahan minggu ini: " Murid Ceria Guru Bahagia".
Sejujurnya saya sangat setuju dengan konsep begini kerana kami guru-guru dapat menggunakan minggu ini sebagai muqaddimah yang menyeronokkan pada murid-murid dengan aktiviti yang kami rancang. Tiadalah hari pertama terus mengadap muka surat pertama buku teks😃. Daripada sinilah dapat mewujudkan 'suasana seronok belajar', 'seronok ke sekolah', tidak takut cikgu' dan merangsang minda murid-murid setelah lama bercuti.
Murid tekun menyediakan kamus Mini BA-BM |
Murid menghias kamus Mini BA-BM |