Selamat Hari Guru Semua Guru Di Malaysia!

 


Selamat Hari Guru! Alhamdulillah, tahun ini genap 16 tahun saya bergelar seorang guru. Selama 16 tahun jugalah pelbagai manis pahit bermacam-macam cerita yang ada dalam setiap muka surat diari saya sebagai seorang guru samada cerita yang berkait dengan kerjaya mahupun peribadi. Namun, sumpah (guna ayat orang-orang sekarang) semuanya adalah pengalaman hidup yang lebih mematangkan hidup-hidup saya pada masa kini dan masa akan datang.

Apabila hendak buka cerita secara ringkas apa yang tercatat dalam diari "Aku Seorang Guru" sebenarnya sudah 16 tahun jugalah saya mengajar di sekolah yang sama bermula daripada posting lagi. Jadi, kalau nak cerita tentang penagalaman tu mungkin tidak sehebat rakan-rakan guru lain yang pernah mengajar 4-5 buah sekolah ataupun lebih. Guru yang macam tu memang hebat dan lagi banyak pengalaman tidak kira pengalaman dalam kerja, kawan-kawan, murid-murid dan sebagainya berbanding saya yang hanya berpengalaman berada dalam sebuah sekolah sahaja.

Tetapi, saya tetap percaya walaupun saya hanya pernah bersekolah dalam sebuah sekolah sahaja sepanjang 16 tahun menjadi guru, namun ada beberapa perkara yang saya kira agak menarik sepanjang kerjaya saya. Antaranya:

    1) Saya pernah berada di bawah 5 orang Guru Besar, 3 orang GPK 1, 3 orang               GPK HEM dan 3 orang GPK KOKO yang berbeza cara kerjanya.

    2) Berpengalaman menjadi SU Kantin, SU Disiplin, SU HEM dan SU Kurikulum.

    3) Tahun ini merupakan tahun ketiga menjadi guru kelas. Kali pertama tahun               2011. Kemudian lama tak jadi sebab jadi SU Disiplin dan SU HEM. Kemudian             jadi semula pada tahun 2022 dan tahun 2023 dan pada masa yang sama SU           Kurikulum.

Itulah kiranya yang saya rasa agak menarik dan mencabar. Bagi sayalah. Mungkin tidak bagi orang lain.

Itu daripada segi kerja. Jika menyingkap daripada sudut lain khususnya yang melibatkan hubungan saya dengan anak-anak murid, turut mempunyai cerita dan pengalamannya yang tersendiri. Saya masih ingat lagi waktu mula-mula posting. Garangnya ya Rabbi....memang garang gila la. Semua murid memang takut dengan saya. Masa tu semua semangat. Semangat mengajar dan semangat mendenda kalau ada yang tidak siap kerja, tidak bawa buku dan apa-apa la yang boleh bikin hati panas. 

Bersama Muaz 4 Batuta
Bersama Muaz 4 IB

Tapi, semakin meningkat usia, corak dan cara pengajaran pun semakin berubah. Bukanlah nak kata sekarang tidak bersemangat mengajar macam dulu. Sesekali TIDAK!!!! Semestinyalah tetap bersemangat dan insya Allah, semangat ini akan terus subur dalam jiwa dan rohani selagi saya bergelar guru. Namun, mungkin tidak sama dengan dulu. Dulu garang. Sekarang pun garang. Tapi garang cara lain. Dulu marah. Tapi sekarang marah cara lain. Ya. semakin bertambah usia mengajar semakin banyak yang perlu diperbaiki. Bukan kena garang dan marah tak tentu pasal. Ini hanya akan menjauhkan minat murid terhadap subjek Bahasa Arab sahaja.

Sempena Hari Guru tahun ini. Saya berharap supaya saya dapat menjadi guru yang lebih baik dari tahun sebelum-sebelum ini. Saya sentiasa berhasrat untuk memajukan diri saya khususnya dalam bentuk pengajaran saya. Semoga Allah sentiasa mempermudahkan urusan dan niat saya untuk meningkatkan kemajuan, ilmu dan pengalaman saya. 

Buat anak-anak murid yang memberi hadiah dan kad ucapan pada ustazah, ribuan terima kasih ustazah ucapkan pada setiap ingatan yang diberikan. Yang paling penting ustazah harapkan kalian berjaya dalam pelajaran dan menjadi anak-anak yang berjaya bukan sahaja dalam pelajaran bahkan dapat menjadi anak yang bijak lagi soleh. Dan sebagai guru Bahasa Arab kalian, harapan ustazah agar semuanya akan terus minat untuk mempelajari bahasa syurga ini.

Gambar-gambar di bawah berbeza baju sebab menerima hadiah pada hari yang berbeza. Ada yang saya terima pada 16 Mei. Ada yang saya terima pada hari semasa jamuan hari raya. Dan ada juga yang saya terima hari selepas hari sambutan guru dan sambutan hari raya. Saya abadikan kenangan anak-anak yang memberi hadiah saya dalam gambar dan saya akan simpan kenangan bersama mereka selamanya. Semoga anak-anak semua akan terus maju jaya dalam pelajaran dan hidup. Aamiin.

Bersama Wan Nurul Huda 5 IR
Bersama Wan Nurul Huda 5 IR
            

Bersama Hadi 5 IR
Bersama Hadi 5 IR

Bersama kembar Ali dan Alif 5 IQ
Bersama Ali dan Alif 5 IQ

Bersama Zaki 5 IB


Salam sayang daripada ustazah💓

Terbaru Lebih lama