Salam Takziah


Hari ini sekolah saya dikejutkan dengan pemergian bekas anak murid akibat kemalangan jalan raya. Berita ini saya ketahui melalui info daripada chat sekolah. Mula membaca namanya saya masih tidak dapat meneka yang mana. Tambahan nama murid yang serupa dengannya sangat ramai. Tetapi, apabila melihat gambar yang dikongsikan oleh rakan guru dalam group sekolah...Allahu...saya memang cam sangat arwah. Saya memang pernah mengajarnya. 


Masih segar dalam ingatan saya yang ayahnya selalu menemaninya sekiranya arwah terlibat dengan pertandingan apa-apa di sekolah. Saya cukup kagum dengan sokongan dan semangat yang ditunjukkan oleh ayahnya. Dengan sokongan ini maka tidak hairanlah arwah menjadi ayam tambatan sekolah dan banyak mewakili serta memenangi pelbagai pertandingan bola dan olahraga. Paling membanggakan, arwah juga merupakan anak didik AMD (Akademi Mokhtar Dahari). Dengan sebab itulah, saya masih ingat lagi dia selalu tidak hadir ketika masa saya. Bukan kerana ponteng. tetapi dia menghadiri latihan atau perlawanan bola. 


Menerima perkhabaran duka seperti ini bukanlah kali pertama sebenarnya bagi saya. Apatah lagi yang melibatkan nahas kemalangan jalan raya motorsikal. Sebenarnya sudah ramai anak murid saya yang terlibat. Dan yang paling memilukan semua itu memang saya pernah ajar dan yang saya memang ingat rupanya. Saya pasti tidak dapat menahan air mata setiap kali berita seperti ini saya terima. Sesungguhnya, saya tidak boleh menipu diri saya untuk tidak sedih dengan kehilangan seperti ini kerana dia pernah menjadi anak murid saya walau seketika.


Buat arwah Haziq, damailah dirimu di sana. Semoga dirimu ditempatkan di kalangan orang-orang yang dikasihi-Nya. Ustazah ingat Haziq memang seorang budak yang baik. Walau banyak ketinggalan dalam belajar khususnya dalam B.Arab sebab selalu keluar kerana latihan dan perlawanan, namun dirimu tetap menunjukkan kesungguhan untuk menyiapkan kerja tambah-tambah apabila mendengar suara petir ustazah. Masih terbayang senyum manis arwah yang terkulat-kulat saat saya berleter sekiranya dia tidak bawa atau menyiapkan kerja sekolah.


Buat keluarga arwah, saya mengucapkan takziah. Semoga Allah memberi kekuatan untuk menghadapi dugaan ini. Semoga Allah juga memberi setinggi-tinggi ganjaran buat keluarga arwah atas kesabaran dengan dugaan ini. 


Maaf andai coretan ini ada mengguris perasaan sesiapa yang mengenali arwah. Saya hanya ingin berkongsi perasaan sedih saya kerana kehilangan anak didik yang pernah saya kenali suatu ketika dahulu. Begitulah perasaan seorang guru. Tidak dapat lari daripada perasaan gembira apabila anak didik berjaya dan sedih apabila anak didik menerima musibah. Sesungguhnya perasaan ini sangat istimewa kerana menyayangi seseorang yang bukan darah daging sendiri tetapi asbab kerana pernah menjadi gurunya.  

كُلُّ نَفۡسٖ ذَآئِقَةُ ٱلۡمَوۡتِۗ 

        Maksudnya; "Setiap yang bernyawa pasti akan mati".

Surah ali-Imran ayat 185


Salam sayang daripada ustazah💓

Terbaru Lebih lama